Language

Saturday, May 12, 2012

Hari Ibu

Pagi-pagi  lagi anak yang sulung (tengah berkursus di Melaka) mengucapkan Hari Ibu. Memandangkan dia seorang yang telah bekerja,seperti biasa dia nak belanja. Cu suruh dia simpan duit aje untuk majlis perkahwinannya.

Setiap anak yang masih mempunyai ibu akan menyambutkannya bersama ibu masing-masing. Ibu cu telah kembali ke rahmahtulallah pada 21 April 2000, hanya doa dan bacaan Al-Quran yang dapat cu hadiahkan untuknya.

Ibu cu adalah seorang ibu yang penyayang dan tegas orangnya. Walaupun tidak berpendidikan tinggi, ibu cu lah yang mengajar cu mengaji Al-Quran sehingga darjah 2. Lepas itu cu mengaji di Surau Rapat Setia bersama-sama anak-anak jiran.

Ibu cu seorang yang pandai memasak dan seorang yang pandai menjahit baju. Dia tidak mengambil tempahan menjahit baju tetapi hanya menjahit baju melayu untuk bapa dan baju kurung untuk anak-anak perempuannya. Kakak cu yang sulung mengikut jejak ibu cu, pandai menjahit baju. Selain dari itu, ibu cu juga pandai membuat tudung saji, tilam dan tekan benang emas yang merupakan kraf seni tekat Negeri Perak. Boleh dikatakan ibu cu seorang wanita yang serba boleh.

 Malah dia tahu masakan kegemaran setiap anak-anaknya. Cu 7 beradik memang suka makan lidah lembu masak panggang dengan santan dicicah dengan sos kicap tomato bersama bawang dan cabai. Masih ingat lagi, ibu cu akan mengajak bapa selepas solat subuh ke pasar untuk membeli lidah lembu apabilatahu anak-anaknya akan balik. Memang cu dan adik beradik malah cucu-cucunya amat rindu masakannya.

Cu belajar banyak masakan tradisional daripada ibu cu cuma cu tak sempat nak belajar memasak rendang tok dan bengkak jagung. Masakan bengkak jagung ibu cu memang sedap.

Sekarang telah genap 12 tahun ibu cu tiada di sisi cu 7 beradik. Kami rindu dan selalu teringat ibu terutama sekali bila masa Hari Raya. Kadang-kadang lepas solat atau semasa mengaji, cu menangis bila terkenang ibu.

Teringat semasa ibu cu menghembuskan nafas yang terakhir,cu berada di Kuala Terengganu. Alhamduillah Allah melapangkan perjalanan cu balik ke Ipoh. Syukur sangat-sangat cu dapat memandikan dan  melaksanakan pengebumian ibu cu. Semoga ibu cu di tempatkan di dalam golongan hamba Allah yang solehah. Amin.                    

No comments:

Powered By Blogger